Tertarik nak sharing satu cerita yang menjadi viral sekarang
ni...hmmm..deep sangat...
------------------------------------------------------------------------------
“Boleh panggil doktor sekarang, tak? Bodoh ke buat mesyuarat
sekarang. Janji nak beri balik pagi ni. Nanti tak sempat aku nak pergi solat
Jumaat.” kata seorang pakcik berkopiah kepada seorang jururawat di kaunter.
“Tunggu sekejap ya, pakcik. 15 minit lagi habislah.” balas
jururawat itu.
Ketika itu, aku masih lagi seorang pelajar perubatan.
Menjalani penempatan elektif di Hospital Kajang. Aku tak sertai CME tu sebab
datang lewat hari berkenaan. Segan pula nak masuk setengah jalan. Takut
disergah dengan soalan.
“Doktor, tolong periksa pesakit ni sekejap.” Terpinga-pinga
aku dibuatnya. Tengah syok curi dengar drama pakcik yang nak balik tu,
tiba-tiba ada orang sapa.
Apabila aku menoleh kelihatan seorang pegawai beruniform
serba coklat memandangku sambil menuding jadi kepada seorang pesakit di katil
yang tangan digari kepada rangka katil.
Di Hospital Kajang, pesakit bergari ditemani pegawai penjara
adalah perkara biasa. Mana tak nya, Penjara Kajang berada tidak jauh daripada
hospital itu. Jika tahanan penjara itu sakit, pasti di hantar ke Hospital
Kajang untuk dapatkan rawatan.
Pesakit yang ditunjuk oleh pegawai itu nafasnya kencang. Dia
duduk bersila sambil tangannya menopang di atas lutut. Persis seperti dukun
yang sedang menurun. Sekali-sekala terbatuk.
Aku lakukan auskultasi pada paru-paru pesakit tersebut dan
dapati bunyi pernafasannya teredam. Alamak, itu tanda tak tak baik! Maka, aku
segera beritahu perkara itu kepada jururawat yang sedang melayan pakcik tadi.
Setelah menerima makluman daripada aku, jururawat itu segera
meminta diri dan meninggalkan pakcik yang berang itu lantas mengambil bacaan
tanda vital pesakit yang sesak nafas tadi.
BP 100/65 mmHg. PR 101 bpm. SPO₂ 80% under room air. RR 42
bpm.
Ringkasnya, bacaan tanda vitalnya sangat membimbangkan.
Jadi, tanpa melengahkan masa, jururawat itu memanggil doktor di bilik seminar
di mana sesi CME sedang berlangsung. Dua orang doktor bergegas keluar dari CME
untuk memeriksa pesakit yang dimaksudkan.
“Doktor! Doktor!” teriak pakcik apabila terlihat
doktor-doktor tersebut, namun teriakannya itu tidak diendahkan.
Pesakit sesak nafas itu diperiksa dan secara klinikal
didapati berkemungkinan mengalami kebocoran plasma sehingga menyebabkan
paru-parunya ditenggelami cecair plasma. Ini adalah salah satu komplikasi
denggi yang amat digeruni oleh para doktor. Jika ia berlaku, bila-bila masa
pesakit boleh meninggal.
Setelah pesakit distabilkan dan sedang diuruskan untuk
dihantar ke ICU untuk pemantauan rapi, pakcik yang tak sabar mahu pulang tu
menyindir dengan suara yang keras.
“Boleh pula panggil doktor untuk tengok si banduan tu. Tadi
aku suruh panggil doktor, kata tak boleh. Banduan yang tak bayar cukai tu lagi
penting dari aku ke?” ujarnya.
Para doktor serta jururawat mendiamkan diri sahaja.
“Apa faedahnya selamatkan sampah masyarakat. Patutnya, biar
mati je pun tak apa. Ini tidak, dia orang pula lagi diutamakan. Bodoh betul.”
sambungnya lagi. Mungkin tak puashati kerana sindiran yang pertama tidak
dilayan.
Mendengar sindiran itu, pegawai penjara tadi melangkah
mendekati pakcik separuh abad itu, kemudian membongkok agar matanya
bertentangan separas dengan pakcik yang sedang duduk bersandar di atas katil.
“Pakcik tahu tak? Syurga tu dipenuhi oleh pendosa-pendosa
yang bertaubat. Manakala neraka pula dipenuhi oleh orang-orang alim yang
munafik.” ujar pegawai tersebut, lantas beredar.
Epik. Rasa macam nak tepuk tangan atas respons yang diberi
oleh pegawai penjara tu, namun aku bendung keinginan tersebut kerana tindakan
itu sangat tak beretika. Aku perasan ada beberapa orang pesakit senyum sinis.
Seorang menekup mulut, mungkin menahan gelak.
Lumrah bagi kita untuk membenci seorang pendosa. Namun
layakkah kita melayani mereka dengan buruk? Adakah kita pasti kita lebih baik
daripada mereka?
Pendosa yang sedang cuba menjadi lebih baik.
Perkongsian dari Medical Offficer : Kamarul Ariffin Nor Sadan(Chaku)
---------------------------------------------------------------------------------
Syurga itu dipenuhi oleh pendosa-pendosa yang bertaubat.
Manakala neraka pula dipenuhi oleh orang-orang alim yang munafik.
Lumrah bagi kita untuk membenci seorang pendosa. Namun
layakkah kita melayani mereka dengan buruk? Adakah kita pasti kita lebih baik
daripada mereka?